Hadhrat Khwajah ‘Arif Ar-Riwagri (616H)

HADHRAT KHWAJAH ‘ARIF AR-RIWGARI (616H)

Hadhrat Khwajah Arif Ar-Riwakari (Riwkari/Riwagari/Riwgari) Quddisa Sirruhu telah dilahirkan di sebuah kampung yang bernama Riwgar yang jaraknya lebihkurang 7 km dari Ghujduwan di Utara Bukhara. Beliau memperolehi Nisbat Batini menerusi Hadhrat Khwajah Abdul Khaliq Al-Ghujuduwani Quddisa Sirruhu dan telah masuk berkhidmat kepada Hadhrat Khwajah Abdul Khaliq Ghujduwani semenjak usia yang masih muda remaja dan merupakan Khalifahnya yang teragung dari sekalian Para Khulafanya sehinggakan sepanjang hayat kehidupannya adalah dipenuhi dengan kesibukan memberikan khidmat kepada Hadhrat Syaikhnya sehinggalah beliau telah mencapai tahap kesempurnaan.
Beliau telah memberikan keutamaan hidupnya untuk beribadat dan memberikan khidmat kepada orang lain. Beliau kuat bermujahadah dan sering memaksa dirinya agar sentiasa berjaga dan tidak tidur. Melihatkan kepada kesungguhan Mujahadah yang luar biasa pada dirinya telah membuatkan Hadhrat Khidhzr ‘Alaihissalam mendoakannya supaya menjadi seorang Arif yang Ahli Makrifah. Dengan keberkatan doa Hadhrat Khidhzr ‘Alaihissalam beliau telah berjaya mencapai kedudukan Para ‘Arifin yang teragung.
Dalam perbualan pertamanya dengan Hadhrat Syaikhnya, Khwajah Abdul Khaliq Ghujduwani Quddisa Sirruhu telah memberikan nasihat kepada Hadhrat Khwajah Arif Quddisa Sirruhu seperti berikut: “Seseorang pengembara atas perjalanan menuju Al-Haqq hendaklah mengetahui nilai masa pada dirinya. Dia hendaklah sentiasa meletakkan dirinya dalam Muhasabah dan melihat dalam hal keadaan apakah dia sedang berada sebagaimana masa meninggalkannya sedikit demi sedikit. Jika dia meluangkan seketika dari masanya dengan hatinya berada dalam hal keadaan berkesedaran dan ketenteraman, maka dia seharusnya tahu bahawa ianya adalah suatu hal keadaan kenikmatan yang perlu disyukuri dan dia hendaklah memberikan kesyukurannya kepada Allah. Walau bagaimanapun jika masa berlalu dalam kelalaian maka dia hendaklah segera bertaubat dan beristighfar meminta keampunan Allah.
Hadhrat Khwajah Arif Riwgari Rahimahullah telah meriwayatkan, “Daku pernah sekali menyaksikan suatu peristiwa yang mana Syaikhku Hadhrat Ghujduwani telah berkata ketika di saat akhir hayat kehidupannya: “Wahai rakan-rakanku, bekerja keraslah dan berpeganglah dengan jalan Thariqat ini, semoga Allah tidak meninggalkan kamu tergelincir dari jalan Thariqat ini.”
Setelah sejam kemudian, kami telah mendengar suatu suara dari sumber yang tidak kelihatan: “Wahai jiwa yang tenang Muthmainnah, kembalilah kepada Tuhan Pemeliharamu dengan keadaan meridhai dan diridhai, masuklah ke dalam kalangan Para Hambaku, dan masuklah ke dalam taman SyurgaKu.” (Al-Fajr 89:27-30) Kemudian Hadhrat Syaikh kami menyerahkan Ruhnya. Sehinggakan apabila kami sedang mempersiapkan urusan pengkebumian jenazahnya, lidahnya masih bergerak-gerak mengucapkan “Allah Allah”. Semua yang hadir pada waktu itu berada dalam hal keadaan terkejut. Kami tetap bertanya antara satu sama lain, apakah hikmah di sebalik hal kejadian ini?”
Sebuah Hadits Nabi Muhammad Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ada menyatakan bahawa: “Sebagaimana keadaan kamu menempuh kehidupan, demikianlah bagaimana keadaan kamu akan menempuh kematian dan sebagaimana keadaan kamu menghadapi kematian, demikianlah bagaimana keadaan kamu akan dibangkitkan kembali.” (Munawi, Faidhz Al-Qadir)
Setelah kewafatan Hadhrat Syaikh Khwajah Abdul Khaliq Al-Ghujuwani Rahimahullah beliau telah menduduki kedudukan Hadhrat Syaikhnya sebagai tempat sandaran Sanad Thariqat dan memberikan kesibukannya dalam memberikan petunjuk dan bimbingan Hidayat kepada makhluk. Hadhrat Khwajah Abdul Khaliq Al-Ghujduwani Rahimahullah mempunyai empat orang Khalifah. Setelah beliau meninggal dunia, Khalifahnya yang pertama menggantikannya ialah Hadhrat Khwajah Ahmad Shiddiq Quddisa Sirruhu. Beliau meneruskan tanggungjawab dan menduduki maqam Pembimbing Ruhani dan melatih Para Muridin dan Salikin dalam perjalanan Suluk Thariqat Tasawwuf yang mulia dan suci. Ketika beliau hampir meninggalkan dunia, dia telah mengarahkan sekalian ekhwan pengikut Thariqatnya agar bersuhbat dalam perdampingan bersama Hadhrat Khwajah Arif Riwgari Quddisa Sirruhu. Setelah Hadhrat Khwajah Abdul Khaliq Ghujduwani Rahimahullah meninggal dunia, Hadhrat Khwajah Arif Riwgari Quddisa Sirruhu telah memulakan kewajibannya sebagai pembimbing Ruhani dan telah memberikan sepenuh kesungguhannya meneruskan arah perjalanan yang sama sebagaimana yang telah dibangunkan oleh Hadhrat Syaikh Khwajah Abdul Khaliq Ghujduwani Rahimahullah.

arif-tomb-complex
Hadhrat Khwajah Arif Ar-Riwgari Rahimahullah adalah seorang Syaikh Para Sufiya yang dihiasi dengan ‘Ilmu dan ‘Irfan yakni pengetahuan yag bersifat zahir dan batin, kelemah-lembutan sifat Hilm, Zuhud menjauhi kecintaan terhadap Duniawi, bertaqwa memelihara diri, sering melakukan berbagai latihan Riyadhah Ruhani dan Mujahadah Nafsani, kuat memelihara Ibadah dan teguh menuruti Sunnah-sunnah Nabawi dengan ketinggian Syan Ahwalnya, semoga Rahmat dan Selamat ke atas Baginda Nabi Muhammad Sahib pemilik Sunnah dan sekalian Para Pengikutnya.
Hadhrat Khwajah Arif Riwgari adalah sangat beradab terhadap sesiapa pun dan beliau akan sentiasa memelihara dirinya agar tidak menyakiti perasaan orang lain. Beliau memberikan kepentingan utama perhatiannya pada Tazkiyyah penyucian Nafs dan Tashfiyyah pensucian Hati dan akan menjauhkan dirinya dari segala perkara yang terlarang. Hinggakan beliau sanggup meninggalkan banyak perkara yang harus dan dibolehkan kerana khuatir bahawa menerusinya dia mungkin akan terlibat dengan perkara yang dilarang. Beliau menghabiskan masa malamnya dalam beribadat dan pada waktu siang beliau memberikan pengajaran kepada para muridnya. Natijah dari segala pengajarannya mendidik manusia lain, Hadhrat Khwajah Arif Riwgari Rahimahullah telah menjadi sumber petunjuk kepada ramai umat Muhammadi untuk mencapai martabat Walayat Kewalian.
Hadhrat Khwajah Arif Riwgari Rahimahullah memiliki pengetahuan tentang Sunnah dengan sempurna dan berusaha untuk mengajarkannya dan hidup dengannya. Beliau sering memulakan pembicaraannya dengan kata-kata berikut: “Semoga Allah Ta’ala meuliakan kita dengan kegembiraan menuruti Sunnah Nabi Muhammad, yang terbaik dan paling berkelebihan dari sekelian manusia, dan Penghulu kehidupan di Dunia ini dan di Akhirat. Allah menyukai bahawa Baginda ditaati dan diikuti. Walau sebesar zarrah ketaatan yang diberikan untuk menurutinya adalah jauh lebih baik dari segela kenikmatan di Dunia ini dan adalah lebih besar dari segala ganjaran di kehidupan Akhirat. Kekurniaan yang sebenar adalah mengikuti Sunnah Baginda yang mulia.”
Hadhrat Khwajah Arif Riwgari Rahimahullah telah meriwayatkan bahawa, “Syaqiq Al-Balkhi ada memiliki seorang anak perempuan yang sangat Salihah dan Warak bernama Aminah. Pada suatu hari Aminah telah berkata: “Wahai ayahanda, janganlah memanggil saya dengan nama Aminah. Seseorang yang benar-benar Amin adalah seseorang yang telah selamat dari kemurkaan Allah, namun saya masih belum berasa selamat, sebaliknya saya berasa dikelilingi empat jenis bahaya:
1. Yang pertama adalah mati, yang setiap Nafs pasti akan merasainya.
2. Yang kedua adalah ketakuta terhadap dosa. Allah Ta’ala berfirman: “…Kemudian setiap jiwa akan dibalas dengan sepenuhnya akan apa yang telah dihasilkannya semasa dalam kehidupan di Dunia.” (Al-Baqarah 2:281)
3. Yang ketiga adalah musuh iaitu Syaitan. Allah Ta’ala berfirman: “…Dan janganlah kamu menuruti jejak-jejak langkah Syaitan. Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang nyata.” (Al-Baqarah 2:168)
4. Yang keempat adalah ketakutan kerana tidak mengetahui bagaimanakan keadaan ketika akhir hayatku akan berlaku. Saya akan berusaha sedaya upaya untuk melakukan amalan kebaikan tetapi saya tidak tahu bagaimanakah hidup saya akan berkesudahan atau bagaimanakah urusan terakhir kehidupanku. Wahai ayahanda, engkau juga tidak mengetahui bagaimanakah kehidupanmu di Akhirat nanti dan bagaimanakah hal keadaanmu di akhir hayat nanti?” Setelah mengucapkan kata-kata ini, Aminah pun meninggal dunia. Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raji’un.

arif-tomb
Antara kata-kata Hikmahnya adalah seperti berikut:
1. Pada permulaan adalah kegembiraan, dan kunci untuk menempuh perjalanan Tariqat Sufi adalah untuk mencari perlindungan Allah di dalam memohon keampunan dan memberikan sanjungan. Taubat adalah wirid yang paling penting bagi orang beriman.
2. Berkhidmatlah kepada sesiapa pun dengan kehidupanmu dan hartamu dan jangan memberikan arahan kepada sesiapa pun.
3. Menjauhi dunia iaitu Nafsu-nafsu yang tersembunyi, bermakna bahawa hati adalah senantiasa bersama Allah. Keadaan ini adalah petanda bahawa kamu sudah mencapai suatu martabat yang tinggi.
4. Jika seseorang berharap untuk mencapai kebahagiaan, berikanlah peluang untuknya maju mencapai ke tingkatan Para Malaikat, ianya adalah bahawa jangan biarkan dia cenderung terhadap keinginan hawa Nafs sebaliknya jadikan Nafsnya agar dapat mematuhinya. Dengan cara ini, alam kebatinannya akan disucikan dan dia akan berada dalam keadaan yang berterusan mengingati Allah, dan dia akan bermujahadah dengan kesungguhan dirinya untuk menjadi sebenar-benar hamba sebagaimana yang telah dijanjikan. Jangan biarkan dia menjadikan sesuatu yang selain Allah sebagai kekasihnya dan jangan biarkan dia mengharap terhadap sesuatu yang selain Allah. Biarkan dia agar sentiasa dalam perkhidmatan terhadap orang-orang Salih dan berkebaikan. Jadikan dirinya agar sentiasa berhati-hati dengan masanya, yang seumpama mata pedang yang tajam. Jangan biarkan dia melalui suatu saat masa dalam kelalaian atau dalam kesombongan. Jadikanlah dia menyeru Nama Allah sentiasa dan biarkan hatinya menjadi tempat pantulan Nama-nama Allah yang indah.
5. Syarat pertama dalam menghasilkan ilmu pengetahuan tentang Allah adalah mengenepikan segala kehendak Nafs, menjauhi dari perkara yang dibenci dan perkara-perkara yang syubhat, dan menyuburkan dirinya dengan perkara yang telah diperbolehkan.
6. Buah daripada Ma’rifatullah adalah bertawajjuh kepada Allah dengan seluruh jiwa dan raga.
7. Seorang yang Arif adalah dia yang dalam setiap nafas yang dikurniakan kepadanya oleh Allah, dia memberikan hatinya kepada Allah sepenuhnya. Hal keadaan ini berterusan sehingga ke akhir hayatnya. Dalam masa yang sama, hal keadaannya ini adalah tersembunyi dari pengetahuan manusia.
8. Satu daripada kunci keimanan adalah menyibukkan diri dalam memikirkan dan merenungi akan segala perbuatan Allah. Jika kamu mahu melihat Allah, maka saksikanlah segala perbuatanNya (yakni dengan pandangan Basirah mata hati dan mengambil iktibar).
9. Adakalanya mendiamkan diri adalah lebih berkesan dari berkata-kata.
Beliau ada sebuah risalah berkenaan Tasawwuf berjudul “Arif Namah” dan salah satu manuskripnya ada terdapat di Kutubkhanah perpustkaan Khanqah Musa Zai Syarif, Dera Ismail Khan, Pakistan.
Menjelang hari-hari terakhir kehidupannya dan memandangkan keperluan semasa pada zaman itu beliau telah mula mengajarkan Zikir Lisani dan Jihri dan telah memberikan kebenaran untuk melakukannya. Dengan cara ini, orang-orang yang masih jauh dari amalan berzikir mulai memberikan pendengaran mereka terhadap Zikir dan mula menyukainya.
Beliau wafat pada tarikh 1Syawal Mukarram 616H / Disember 1219M dan ada riwayat menyatakan tahun 634H/1237M. Beliau telah dikebumikan disebuah tempat yang bernama Riwgar yang kini dikenali sebagai Safirkon yang jaraknya adalah 45 kilometer pada arah Utara dari Kota Bukhara, Uzbekistan. Makam persemadiannya yang mulia adalah antara tempat limpahan Rahmah dan Sakinah dan dikunjungi oleh berbagai lapisan manusia.

arif-grave
Antara Para Masyaikh yang hidup sezaman dengannya adalah:
1. Hadhrat Syaikh Najmuddin Kubra Quddisa Sirruhu (w.617H) beliau merupakan pengasas Thariqat Kubrawiyyah dan menetap di Khwarezm.
2. Hadhrat Syaikh Syahabuddin Suhrawardi Quddisa Sirruhu (w.632H) beliau merupakan pengasas Thariqat Suhrawardiyyah dan menetap di Baghdad.
3. Hadhrat Syaikh Mu’inuddin Ajmeri Quddisa Sirruhu (w.633H) beliau merupakan pengasas Thariqat Chisytiyyah dan telah berhijrah ke Ajmer, India.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s