Perkembangan Thariqat Naqsyabandiyyah Mujaddidiyyah

ottoman-sufis

PERKEMBANGAN THARIQAT NAQSYABANDIYYAH MUJADDIDIYYAH

Silsilah ‘Aaliyyah Thariqat Shufiya Naqsyabandiyyah adalah rantaian Nisbat Khas Muhammadi yang terlimpah kepada Hadhrat Sayyidina Abu Bakar Ash-Shiddiq (w.13H) yang merupakan Khalifah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dan seterusnya telah berkembang di Tanah Hijaz dan Khurasan menerusi Hadhrat Sayyidina Salman Al-Farisi dan Hadhrat Sayyidina Imam Qasim Ibni Muhammad Ibni Abi Bakar, kemudian rantaian Nisbat tersebut telah diperhubungkan dengan Nisbat Hadhrat Amirul-Mukminin Sayyidina ‘Ali Ibni Abi Thalib melalui rantaian Silsilah Ahli Bayt menerusi Hadhrat Imam Ja’afar Shadiq yang diperolehinya daripada Hadhrat Imam Muhammad Baqir, Hadhrat Imam ‘Ali Ibni Hussain Zainal ‘Abidin, Hadhrat Imam Hussain Ibni ‘Ali dan Hadhrat Imam Hassan Ibni ‘Ali sehingga berkembang di Asia Tengah. Pertemuan pertama kedua-dua Nisbat Shiddiqi dan ‘Alawi bertemu pada Hadhrat Imam Ja’afar Shadiq. Kedua-dua Nisbat Shiddiqi dan Nisbat ‘Alawi ini juga telah terhimpun pada Hadhrat Khwajah Abu ‘Ali Faramadi yang merupakan Syaikh Mursyid kepada Hadhrat Imam Al-Ghazali dan Nisbat Shiddiqi yang diperolehinya adalah menerusi Hadhrat Abul-Hassan ‘Ali Kharqani yang telah menerima Nisbat ini secara Uwaisi daripada Ruhaniyyah Hadhrat Abu Yazid Busthami dan beliau pula telah menerima Nisbat ini daripada Ruhaniyyah Hadhrat Imam Ja’afar Shadiq juga secara Uwaisi. Manakala Nisbat ‘Alawi diperolehinya menerusi Hadhrat Abul-Qasim Gurgani yang sampai kepada Hadhrat Amirul-Mukminin menerusi Hadhrat Hassan Bashri, Hadhrat Habib ‘Ajami, Hadhrat Daud Thayi, Hadhrat Ma’aruf Karkhi, Hadhrat Sirri Saqthi, Hadhrat Sayyid Ath-Thaifah Junaid Baghdadi, Hadhrat Abu ‘Ali Ruzbari, Hadhrat Abu ‘Ali Katib dan Hadhrat Abu ‘Utsman Maghribi, kemudian Nisbat ini telah sampai kepada Hadhrat Syah Muhammad Bahauddin Naqsyaband (w.791H/1389M) di Bukhara pada pertengahan abad kelapan Hijrah menerusi Hadhrat Sayyid Amir Kulal, Hadhrat Baba Sammasi, Hadhrat ‘Azizan ‘Ali Ramitani, Hadhrat Mahmud Anjir Faghnawi, Hadhrat ‘Arif Riwagari, Hadhrat ‘Abdul Khaliq Ghijduwani dan Hadhrat Abu Ya’aqub Yusuf Hamdani yang merupakan Khalifah Hadhrat Khwajah Abu ‘Ali Faramadi.

Bermula semenjak dari zaman Hadhrat Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Nisbat ini dikenali sebagai Nisbat Muhammadi dan bermula dari zaman Hadhrat Sayyidina Abu Bakar Shiddiq ianya dikenali sebagai Nisbat Shiddiqi, ketika zaman Hadhrat Abu Yazid ianya dikenali sebagai Nisbat Thaifuri dan ketika zaman Hadhrat ‘Abdul Khaliq ianya dikenali sebagai Nisbat Khwajagan dan seterusnya ketika sampai ke zaman Hadhrat Syah Bahauddin ianya telah dikenali sebagai Nisbat Naqsyaband dan jalan penghasilan Nisbat itu dinamakan Thariqat Naqsyabandiyyah. Sejarah Thariqat Naqsyabandiyyah sebagaimana Thariqat Shufiya yang lain adalah dikenali menerusi rantaian Silsilahnya yang kembali merujuk kepada Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Ianya bermula selari dengan permulaan Syi’ar Dakwah Islam. Secara jelasnya, seluruh Thariqat Shufiya khasnya Thariqat Naqsyabandiyyah sebagai suatu jalan pengamalan untuk mendekatkan diri Kehadhrat Allah telah pun wujud semenjak zaman Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersama generasi pertama Ummat Muslimin iaitu Para Shahabat Ridhwanullah ‘Alaihim Ajma’in.

Berkenaan Silsilah yang sering dipersoalkan oleh pihak-pihak tertentu tentang kepentingannya dalam pengamalan Thariqat adalah kerana mereka tidak melihat kepada kepentingan perhubungan dan perkaitan Nisbat dalam pengamalan Syari’at pada aspek yang zahir dan pada aspek batin dalam pengamalan Thariqat. Silsilah Thariqat adalah berperanan penting bagi menilai samada sesebuah Thariqat Shufiya itu benar atau pun palsu. Silsilah yang palsu tidak dapat memberikan penghasilan limpahan Faidhz yang sempurna dan tiada mendapat pengesahan dan tiada berwibawa. Oleh kerana keterbatasan sifat-sifat hamba dengan serba kelemahan yang ada pada diri setiap manusia, mereka memerlukan bimbingan dan panduan dari orang-orang yang telah mengetahui dan berpengalaman, maka seseorang Murid dalam perjalanan Thariqat perlulah menisbatkan dirinya dengan panduan, bimbingan dan ajaran daripada Guru Mursyidnya supaya dapat memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan pada dirinya kerana seseorang itu tidak akan dapat membimbing dirinya sendiri dan mencipta jalannya sendiri untuk mencapai kesedaran Hadhrat Ketuhanan bahkan dia perlu mempunyai seorang guru pembimbing Ruhani bagi membimbing perjalanan Ruhaninya menurut tuntutan Syari’at kerana pengamalan Thariqat adalah Ruh bagi Syari’at.

Thariqat Naqsyabandiyyah adalah sebuah Thariqat Shufiya yang paling luas penyebarannya di seluruh dunia dan kekuatannya terletak pada ciri-cirinya yang mematuhi dengan ketat segala tuntutan perundangan Hukum Syari’at dan penglibatan Para Ahlinya dalam kehidupan sosial bermasyarakat dan urusan politik pemerintahan dalam sesebuah negara.

Sejarah perkembangannya telah melalui beberapa fasa iaitu dari Tanah Hijaz ke Asia Tengah, kemudian ke Tanah Hindi dan seterusnya berkembang dalam jajahan Kekhalifahan ‘Utsmaniyyah dari Asia Timur ke Asia Barat sehingga ke Benua Eropah, Benua Amerika dan Benua Australia. Sehingga ke hari ini berbagai cabangan Thariqat Naqsyabandi telah dapat dikenalpasti meskipun belum secara mencakupi kesemuanya, namun cabangan Thariqat Naqsyabandi yang bergerak secara dinamik sehingga ke hari ini adalah seperti Naqsyabandi Mujaddidi, Naqsyabandi Mazhhari, Naqsyabandi Qadiri, Naqsyabandi Khalidi, Naqsyabandi Saifi, Naqsyabandi Aslami, Naqsyabandi Haqqani, Naqsyabandi Uwaisi dan sebagainya.

Ramai Para pemimpin Thariqat Naqsyabandiyyah dan mereka yang menuruti perjalanan Thariqat ini telah memainkan peranan penting sebagai para pemikir Islam dan menggerakkan berbagai pergerakan Islam dalam bidang pendidikan, dakwah, politik dan pembentukan Syakhsiyyah Islam dengan menerapkan berbagai strategi baharu bagi menghadapi cabaran semasa dan cabaran masa hadapan. Keistimewaan Thariqat ini adalah terletak pada pokok-pokok pengajaran-pengajarannya yang diperkenalkan oleh Para Masyaikh berdasarkan apa yang telah mereka warisi dari Para Guru mereka dan buah-buah pengenalan Ma’rifat yang terhasil dalam Muraqabah dan Musyahadah mereka. Para pengikut Thariqat Naqsyabandiyyah telah memperlihatkan bahawa perjalanan Thariqat mereka adalah jalan Thariqat yang paling dekat dan paling hampir dan paling mudah ke atas seseorang Murid bagi mencapai Wushul kesampaian ke Darjat-darjat penghayatan Tauhid. Thariqat ini adalah berada atas perjalanan Thariqat Para Shahabat tanpa sebarang penambahan dan tanpa sebarang kekurangan.

Thariqat ini menyeru kepada pengabdian ‘Ubudiyyah yang sempurna secara Zhahir dan Bathin dengan melazimkan sepenuhnya pengamalan Adab-adab Sunnah Nabawiyyah. Thariqat ini mengkhususkan pengamalan terhadap perkara yang bershifat ‘Azimah dan meninggalkan pengamalan yang bershifat Rukhshah pada setiap Harakat pergerakan dan ketika berdiam diri, pada segala adat-adat penghidupan, amalan ‘Ibadat dan urusan Mu’amalat. Thariqat Naqsyabandiyyah adalah bebas dari sebarang amalan Bida’ah yang diada-adakan, Khurafat, latahan Syathahiyyat, tarian dan Sima’, di samping itu tiada terdapat Mujahadah berlapar yang banyak dan makan berlebih-lebihan. Ianya selamat dari sebarang kekotoran kejahilan orang-orang yang mendakwa sebagai Ahli Shufi, kerana Thariqat Naqsyabandiyyah ini amat menekankan kelaziman beramal dengan Adab Syari’at secara bersederhana kerana sebaik-baik urusan adalah dalam kesederhanaan. Menurut pandangan mereka, keimanan yang Haqiqi adalah tertegak atas tiga rukun iaitu pertamanya adalah Iman kurniaan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala terhadap sekalian Insan dan yang dimaksudkan dengannya adalah cahaya Ruhani dan Nurani yang terdapat dalam diri setiap Insan, kedua adalah Iman degan Shifat Wahdaniyyah Allah Al-Haqq dan apa yang telah dibawakan oleh Hadhrat Baginda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dan ketiganya adalah mengikrarkan dengan lisan akan Kalimah Thayyibah yang suci iaitu La Ilaha Illa Allah Muhammadur Rasulullah yang bermaksud tiada Tuhan yang layak disembah dengan sebenar-benar selain Allah dan Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah. Apabila terhimpunnya ketiga-tiga rukun ini dalam diri seseorang, maka menjadilah dia sebagai seorang yang berkeimanan sempurna.

Dasar yang seterusnya adalah memantapkan keislaman secara sempurna yang diiktibarkan sebagai melazimkan pengabdian dengan sekalian Ahkam Syar’iyyah sambil menzahirkan kelemahan dan kefaqiran dan kehinaan dan kekurangan dan menyerahkan diri secara Zhahir dan Bathin. Kesempurnaan Islam tidak akan terhasil kecuali dengan melakukan Mujahadah penentangan terhadap Hawa Nafsu bagi menuruti Sunnah Nabawiyyah di samping beramal dengan amalan ‘Azimah serta meninggalkan amalan Rukhshah.

Kemudian diikuti dengan dasar keihsanan yang sempurna iaitu dengan mensucikan amalan ‘Ibadat dari penuntutan terhadap ganjaran pahala atau mendapatkan sesuatu kepentingan atau bertujuan Riya menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Dalam ertikata lain ianya bermaksud Ikhlas yakni menjadikan amalan tulus suci bagi mengharapkan pandangan Wajah Allah. Ihsan yang sempurna tiada terhasil dalam Thariqat Naqsyabandiyyah kecuali setelah mencapai Musyahadah penyaksian terhadap Hadhrat Uluhiyyah menerusi cahaya Nur Bashirah dalam setiap amalan ‘Ibadat. Shifat Ihsan yang seperti ini akan dapat memantapkan Dawam ‘Ubudiyyah iaitu pengabdian berterusan yakni terhasilnya Dawam Hudhur dengan tanpa kesukaran meskipun terdapat lintasan khatrah-khatrah dan terpelihara dari sebarang takluk dengan segala sesuatu yang selain Allah dan yag tiada taklukan dengan Allah. Ihsan juga diiktibarkan sebagai Fana Shifat Salik pada Shifat Haqq, dan yang dimaksudkan dengannya adalah gugurnya segala penshifatan terhadap Nafs diri Mazmumah yang keji bagi menggantikan tempatnya dengan segala Shifat Mahmudah yang terpuji.

Secara keseluruhannya adalah dikatakan bahawa Thariqat Naqsyabandiyyah adalah ibu bagi sekalian jalan Thariqat dan merupakan khazanah rahsia-rahsia Shiddiqiyyah dan segala Haqiqat. Ianya adalah jalan Thariqat yang paling dekat dan hampir, paling selamat, paling berhikmah, paling jelas dan paling terpelihara. Dan ianya merupakan tempat minuman Ruhani yang paling manis dan paling suci serta terpelihara dari sebarang celaan yang mencemarkan. Hadhrat Syah Naqsyaband berkata, “Thariqat kami adalah jalan yang paling dekat menuju kepada Allah Ta’ala. Orang yang berpaling dari perjalanan Thariqat kami adalah berada atas lintasan bahaya pada Agamanya.”

Ushul bagi Thariqat Naqsyabandiyyah telah ditetapkan berdasarkan pengajaran 8 Ushul yang diketengahkan oleh Hadhrat Khwajah ‘Abdul Khaliq Ghijduwani Quddisa Sirruhu dan 3 Ushul sebagai tambahan oleh Hadhrat Imam Thariqat Khwajah Syah Muhammad Bahauddin Naqsyaband Uwaisi Bukhari Quddisa Sirruhu menjadikannya 11 Ushul seperti berikut:

  1. Nazhar Bar Qadam
  2. Hosy Dar Dam
  3. Safar Dar Wathan
  4. Khalwat Dar Anjuman
  5. Yaad Kard
  6. Baz Gasyt
  7. Nigah Dasyat
  8. Yaad Dasyat
  9. Wuquf Zamani
  10. Wuquf ‘Adadi
  11. 11. Wuquf Qalbi
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s