Penglibatan Tariqah Naqshbandiyah Dalam Sosial Dan Politik Di Zaman Hadhrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih

Penglibatan Tariqah Naqshbandiyah Dalam Sosial Dan Politik Di Zaman Hadhrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih

Berkhidmat untuk ummat manusia secara Jasmani mahupun Ruhani adalah merupakan kata-kata dorongan bagi Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih. Ada banyak contoh sifat kebaikannya sepertimana beliau pernah berkata:

“Untuk membantu dan melayani masyarakat adalah lebih baik daripada Zikir dan Muraqabah. Beberapa orang berfikir bahawa untuk melakukan Sunnah yangg berlebihan adalah lebih baik daripada melayani dan membantu mereka yang memerlukan. Menurut pandangan kami, walau bagaimanapun bahawa untuk merawat orang dan untuk membantu mereka dan untuk menunjukkan kepada mereka kasih sayang adalah lebih baik dari apa pun.”

Beliau juga pernah berkata,

“Aku tidak mengambil Tariqat ini dari buku tapi daku telah diajar Tariqat ini dengan melayani orang ramai.”

Beliau telah berkata,

“Daku masuk ke dalam perkumpulan Keruhanian melalui pintu perkhidmatan.”

Kata beliau,

“Tasawwuf mengharuskan anda untuk membawa beban semua orang dan tidak meletakkan anda pada sesiapa jua pun.”

Ketika pertengahan abad yang ke lima belas Para Masyaikh Sufiyah di Asia Tengah telah menjadi sangat berpengaruh dan martabat keruhanian serta kewibawaan agama yang ada dalam diri mereka telah diterjemahkan ke dalam kekuasaan politik dan kekukuhan ekonomi. Tariqat Naqshbandi telah berkembang pesat dalam persekitaran ini dan telah mencapai zaman kemuncak di zaman Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih yang merupakan generasi ketiga sesudah pengasasnya iaitu Hadhzrat Khwajah Khwajagan Shah Muhammad Bahauddin Naqshband Al-Uwaisi Al-Bukhari Rahmatullah ‘Alaih yang telah dianggap dan diterima sebagai Penaung Para Wali di Bukhara.

Sebuah kompleks binaan bangunan yang mengandungi Masjid serta beberapa Khanqah dan Madrasah telah dibina di persekitaran makamnya dan telah menjadi sebuah tempat kunjungan yang termasyhur di Bukhara. Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih merupakan syakhsiah yang pertama dari kalangan Masyaikh Naqshbandiyah yang telah melibatkan diri dalam kancah politik serta menikmati kemewahan ekonomi yang tersendiri dan keupayaan sosial terhadap segala tuntutan rakyat. Dalam tahun 1431 M beliau telah menapakkan dirinya sebagai seorang Syaikh Tariqah Sufiyyah di Tashkent yang ketika itu dikenali sebagai Tashkand.

Beliau telah menggunakan kekuatan pengaruhnya ke atas beberapa suku kaum Uzbek untuk membantu bakal pemerintah iaitu Sultan Abu Sa’id dalam usahanya bergelut dalam peperangan bagi mendapatkan kekuasaan politik. Setelah pergelutan kuasa dan Sultan Abu Sa’id berjaya mandapat tampuk kekuasaan, Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah bersama-sama Sultan Abu Sa’id berpindah ke ibukota yang baharu iaitu di Samarqand. Oleh kerana kewibawaan keruhaniannya yang telah berjaya menakluk hati Sultan Abu Sa’id, Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah menjadi penguasa mutlak di Transoxiana dan sebagai pemilik tanah yang terbesar dan terkaya pada masa itu.

Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah mengesahkan tindakannya melibatkan diri dalam suasana politik dengan mendakwa bahawa dirinya telah diberikan tanggungjawab untuk melindungi Ummat Muslimin dari sebarang kejahatan dan kezaliman dengan menegakkan Syari’at secara mendampingi para raja dan menakluki jiwa mereka untuk kepentingan Ummat Islam.

Antara perintah yang telah dikeluarkan oleh beliau dalam menguatkuasakan Syari’at Islam adalah dengan menggugurkan Tamgha iaitu suatu tradisi Mongol yang bukan Islam dalam pungutan cukai. Beliaulah Syeikh Naqshbandi yang pertama membawa pengamalan Syari’at dari tahap individu ke tahap politik dan telah menerapkan penafsiran prinsip ajaran Khalwat Dar Anjuman oleh Hadhzrat Khwajah Khwajagan ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘Alaih sebagai suatu keperluan dalam memadukan dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan Duniawi dan Ruhani.

Penafsiran asas beliau terhadap Syari’at telah membimbing beliau kepada mengenepikan irama muzik bunyi-bunyian, tarian dan alunan syair yang mana kelihatan agak bertentangan dengan sikap terbuka dalam tradisi Para Masyaikh yang telah dipegang di Khurasan, khasnya di Herat seperti Hadhzrat Maulana Jami Rahmatullah ‘Alaih.

Sepertimana Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih, Hadhzrat Maulana ‘Abdur Rahman Jami Rahmatullah ‘Alaih juga turut menikmati kedudukan tinggi yang tersendiri dan telah berjaya mempengaruhi para pemerintah di Khurasan meskipun penafsiran beliau terhadap Syari’at agak berlainan dengan penafsiran Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih.

Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah berjaya membangunkan Tariqat Naqshbandi sebagai yang paling berpengaruh di Asia Tengah dan berdampingan dengan para pemerintah. Sehinggalah pada lewat abad yang ke lapan belas, seorang Syaikh Naqshbandi yang bernama Hadhzrat Shah Murad 1801 M yang mendakwa dirinya sebagai berketurunan ruhani daripada Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah menjadi ketua pemerintah Bukhara. Dengan melihat bahawa dirinya sebagai seorang Khalifah Allah di atas muka bumi, beliau telah berpegang teguh dengan polisi yang telah dilaksanakan oleh Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih dengan usahanya memperkuatkuasakan perlaksanaan Syari’at Islam serta menerangkan penafsirannya yang asas. Beliau agak terkenal dengan sikap permusuhannya secara terang-terangan terhadap golongan Syi’ah dan bukan Islam.

Lebih jauh dari itu, bilangan Para Khalifahnya yang ramai sesudah beliau telah memberikan jaminan untuk tersebarnya limpahan Faidhz ke seluruh Dunia Islam dan telah berjaya menjadikan Tariqat Naqshbandiyah sebagai suatu Tariqat Sufiyah yang paling luas berkembang. Gabungan para pemerintah dengan Para Masyaikh Naqshbandiyah telah menjadi begitu kerap dibahagian Timur Turkistan.

Setelah penaklukan Russia ke atas Asia Tengah dalam pertengahan abad ke sembilan belas meskipun Tariqat Naqshbandiyah telah dilihat dengan bentuk baharu yang berbeza, namun ia masih terus memainkan peranan penting dalam pengaruhnya terhadap Ummat Muslimin di Asia Tengah. Ketika awal tahun 1970-an, Tariqat Naqshbandiyah masih lagi merupakan sebuah Tariqah Sufiyah yang penuh bertenaga dan telah memberikan pengaruh yang besar terhadap masyarakat sosial. Para Masyaikh Naqshbandiyah telah dikenali juga sebagai Hadhzrat Ishan memiliki aura keruhanian yang hebat dan telah menikmati kedudukan yang tinggi di kalangan para bangsawan.

Para Khalifah Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih juga telah memperkenalkan jaringan Ekhwan Naqshbandiyah ke dalam tanah jajahan kerajaan ‘Utsmaniyah dan Iran.

Segala kenyataan ini telah diperakui oleh para periwayat seperti Al-Khani dan para sarjana pengkaji sejarah Asia Tengah seperti Hamid Algar, Bartold, Boldyrev, Bregel, Buehler, Canfield, Checovich, Gordelevskiy, Jo Ann Gross, Khanykoff, Kolosenko, Shubin, Sitnyakovskiy dan Vambery.

Hadhzrat Maulana Khwaja Ahrar telah menulis banyak buku tentang Tasawwuf dan pengetahuan yang berkaitan dengan mencari kedekatan kepada Allah. Selain itu, beliau juga telah mendirikan sebuah Madrasah besar dan sebuah Masjid yang masih menjadi pusat pembelajaran Agama Islam. Khwaja Ahrar telah meninggal dunia pada hari Sabtu 29 Rabi’ul Awwal 895 H / 20 Februari 1490 M di Kemangiran, Samarqand selepas solat Isyak ketika berusia 89 tahun.

Pemakamannya telah menarik segalanya hinggakan Sultan Ahmad dari Samarqand bersama-sama pasukannya juga telah datang menghadiri pemakaman beliau. Beliau telah dikebumikan di Samarqand. Beliau telah memberikan limpahan Faidhz dari Urutan Naqshbandiyah kepada Hadhzrat Khwajah Qadhzi Muhammad Zahid Samarqandi Rahmatullah ‘Alaih. Maqam persemadian Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah menjadi sebuah tempat tarikan para pengunjung sehingga ke hari ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s