Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Bin Mahmud Nasiruddin Rahmatullah ‘Alaih

Sufism

Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Bin Mahmud Nasiruddin Rahmatullah ‘Alaih

Hadhrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Bin Mahmud Nasiruddin (806 – 895 H / 1404 – 1490 M) adalah seorang pemimpin Tariqah Sufiyah Naqshbandiyah yang mana di bawah pimpinannya Tariqat Naqshbandi telah bertapak dengan kukuh di Asia Tengah hingga ke seluruh Dunia Islam dan pada hakikatnya beliau adalah merupakan seorang yang memerintah sebahagian besar Mawarannahr atau dikenali sebagai Transoxiana selama empat dekad pada pertengahan akhir kurun yang ke lima belas.

Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih lahir di desa Baghistan di sekitar Tashkent dalam bulan Ramadhzan tahun 806 H atau Mac 1403 M. Bapanya adalah seorang Sufi Darwish yang menonjol dan keluarga beliau memang terkenal dari kalangan yang Wara’ dan berpendidikan tinggi agama. Beliau memiliki darah keturunan Hadhzrat ‘Umar Al-Khattab Radhiyallahu ‘Anhu dan telah dibesarkan di Tashkent oleh bapa saudaranya yang bernama Hadhzrat Khwajah Ibrahim Shashi Rahmatullah ‘Alaih, seorang ulama besar pada masa itu yang telah memberinya pendidikan awal. Sesudah beliau lulus dalam ilmu Zahiriyah dan Duniawiyah, bapa saudaranya telah menghantar beliau ke Samarqand untuk mendapatkan ilmu pengetahuan Batiniyah dan Ukhrawiyah.

Kemudian beliau telah berpindah ke Samarqand untuk melanjutkan pengajiannya namun tidak dapat disempurnakannya oleh kerana sering ditimpa demam dan lemah kecenderungan dari dirinya, lalu beliau telah segera menamatkan pengajiannya di Samarqand dan menurut kenyataannya, beliau tidak pernah menguasai Ilmu Nahwu Bahasa ‘Arab walau dua muka surat pun. Pada awalnya ketika di Samarqand, beliau telah menyertai dengan Halqah para murid Hadhzrat Khwajah Nizamuddin Khamosh Rahmatullah ‘Alaih yang merupakan seorang yang Salih lagi terkemuka pada masa itu.

Pada usia 22 tahun beliau telah pergi ke Bukhara dan ketika berada di luar bandar Bukhara, beliau telah bertemu dengan Hadhzrat Khwajah Sirajuddin Birmisi Rahmatullah ‘Alaih. Setelah tinggal beberapa lama dengannya, beliau telah melanjutkan perjalanan menuju ke Bukhara.

Di Bukhara, beliau telah memperolehi bimbingan Ruhaniyah yang menguntungkan daripada Hadhzrat Khwajah ‘Alauddin Ghajduwani Rahmatullah ‘Alaih yang merupakan seorang pemidato yang sangat baik dan luar biasa. Ketika Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih bertemu Hadhzrat Khwajah ‘Alauddin Ghajduwani Rahmatullah ‘Alaih yang telah berusia 90 tahun, walaupun sudah tua namun beliau tidak pernah menghentikan amalan kesalihannya atau menahan diri dari membuat pergaulan Suhbah yang menguntungkan dengan Para Muridnya. Khwajah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih menerima masa keruhanian dari Khwajah Ghajduwani Rahmatullah ‘Alaih sedang kedua-duanya sibuk dalam Muraqabah di Maqam Hadhzrat Khwajah Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘Alaih.

Kemudian, beliau telah pergi ke Khurasan melalui Merv lalu singgah di Herat dan tinggal di sana selama empat tahun dengan Hadhzrat Sayyid Qasim Tabrizi Rahmatullah ‘Alaih. Ketika di Herat, beliau telah mendengar kata-kata pujian tentang Hadhzrat Khwajah Ya’qub Charkhi Rahmatullah ‘Alaih. Beliau telah memutuskan untuk mengambil manafaat dari Hadhzrat Khwajah Ya’qub Charkhi Rahmatullah ‘Alaih dan telah memulakan perjalanan untuk bertemu dengannya dan mengambil limpahan Faidhz keruhanian darinya.

Ketika berusia 24 tahun beliau telah pergi ke Herat untuk meneruskan pengajiannya berkenaan Ilmu Tariqat Tasawwuf, khasnya dibawah asuhan Hadhzrat Maulana Khwajah Ya’aqub Charkhi Rahmatullah ‘Alaih yang merupakan salah seorang daripada khalifah Hadhrat Khwajah Khwajagan Shah Bahauddin Naqshband Rahmatullah ‘Alaih.

Dalam paparan seluruh kehidupannya, beliau kurang memberikan penekanan terhadap pendidikan secara formal dan teratur sebaliknya lebih menitik-beratkan penguatkuasaan Syari’at dan pengamalan Ilmu Tasawwuf. Nilai-nilai kesucian sudah terlihat dalam dirinya sejak masa kecilnya. Hadhzrat Khwajah Ahrar pernah berkata:

“Dari usia tiga tahun daku telah berada di Hadhzrat Allah. Ketika daku mempelajari Al-Quran dengan guruku, hatiku berada di Hadhzrat Allah. Dahulu daku berfikir bahawa semua orang adalah seperti itu.”

Oleh kerana beliau memiliki takluk perhubungan yang baik dengan para pemimpin Timurid di Mawarannahr khasnya Sultan Abu Sa’id, maka beliau telah berjaya mendapatkan kedudukan yang teguh dalam wilayah pemerintahan Timurid. Era Timurid, dinasti yang memerintah Transoxiana, Iran, dan Afghanistan 1370 – 1506 mempunyai kesan budaya dan seni yang mendalam tentang sejarah Asia Tengah, Empayar Uthmaniyyah dan Mughal India di era moden awal. Menurut beberapa riwayat berkenaan Hadhzrat Khwaja ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih, Sultan Abu Sa’id telah mengalami kekalahan dalam sebuah peperangan yang telah dilancarkan oleh seorang putera raja yang memberontak bernama ‘Abdullah Mirza.

Oleh kerana kekalahan, Sultan Abu Sa’id telah bergerak ke sebelah utara iaitu di Tashkent. Semasa dalam perjalanan, beliau telah bermimpi bertemu dengan seorang Wali Allah yang besar lagi agung bernama Hadhzrat Khwajah Ahmad Yasawi Rahmatullah ‘Alaih. Di dalam mimpinya, Hadhzrat Khwajah Ahmad Yasawi Rahmatullah ‘Alaih telah memperkenalkan kepadanya seorang yang berkilau tubuh badannya dengan cahaya Nur serta dapat membantu beliau dalam usahanya.

Sultan Abu Sa’id telah cuba menjelaskan gambaran orang yang telah dilihatnya dalam mimpi tersebut kepada orang-orang di Tashkent. Beliau telah diberitahu bahawa orang tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih yang pada ketika itu tidak berada di Tashkent, tetapi sedang menetap di sebuah bandar kecil bernama Farkat di luar Kota Tashkent. Sultan Abu Sa’id telah membuat keputusan untuk pergi bertemu dengan Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih.

Hadhzrat Khwaja ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah bersedia memberikan bantuannya kepada Sultan Abu Sa’id dengan syarat bahawa dia hendaklah menggunakan kuasa pemerintahannya untuk menguatkuasakan Syari’at Islam dan meringankan bebanan rakyat.

Dalam peperangan yang berikutnya, ‘Abdullah Mirza telah menghadapi kekalahan dan Sultan Abu Sa’id telah berjaya memasuki Samarqand dan kemudian telah disusul dengan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih.

Sultan Abu Sa’id berasa terhutang budi dengan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih dan menurut riwayat yang telah dinukilkan oleh ‘Abdur Razzaq As-Samarqandi Rahmatullah ‘Alaih, Sultan Abu Sa’id telah menganggap dirinya sebagai berada di bawah segala arahan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih.

Penguasaan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih ke atas Samarqand menjadi lengkap pada tahun 861 H/1457 M apabila Sultan Abu Sa’id menukarkan kota pemerintahannya di Herat. Sesudah kematian Sultan Abu Sa’id, putera beliau yang bernama Sultan Ahmad juga telah menjadi pengikut setia Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih.

Terdapat berbagai-bagai episod mencabar dalam kehidupan Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih selain dari kisah penaklukan Samarqand dalam tahun 855 H/1451 M, seperti pengaruhnya dalam politik dan pengurusannya terhadap pertahanan Samarqand dari serangan tentera Khurasan dalam tahun 858 H/1454 M.

Kejayaan beliau mempengaruhi Sultan Abu Sa’id sehingga dia telah berjanji untuk menghapuskan segala amalan yang bertentangan dengan Syari’at Islam di dalam seluruh jajahan takluk pemerintahannya, khasnya di Bukhara dan Samarqand dalam tahun 865 H/1460 M. Beliau telah berjaya menyelesaikan perbalahan antara Sultan Abu Sa’id dengan putera pemberontak yang bernama Muhammad Djuki di Shahrukhiyyah dalam tahun 865 H/ 1461 M dan 867 H/ 1463 M serta telah mengadili tiga buah tuntutan yang bertentangan dalam penaklukan Tashkent dalam tahun 890 H/ 1485 M.

Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah memberikan alasan beliau melibatkan diri dalam berbagai situasi politik menerusi surat-surat beliau yang mana telah menjelaskan bahawa beliau berusaha mencapai kekuasaan atas para penguasa dan pemerintah adalah bagi memelihara keadilan dan melaksanakan Syari’at. Beliau telah berkata,

“Perlu ada yang berdiri di antara rakyat dan para pemerintah, seorang yang mampu menyekat kezaliman dan penindasan. Rakyat adalah tidak berkemampuan dan tidak berdaya menghadapi tentangan orang yang lebih kuat. Maka adalah perlu untuk mempengaruhi para pemerintah agar tidak melanggari batas undang-undang Allah Ta’ala atau menzalimi rakyat.”

Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih diriwayatkan sebagai pernah berkata,

“Jika kami bertindak sebagai seorang Syaikh dalam zaman ini, tiada seorang Syaikh pun yang akan mendapat walau seorang murid pun, akan tetapi suatu tugas lain telah diamanahkan kepada kami iaitu untuk melindungi Ummat Muslim dari kejahatan para pemberontak dan untuk mencapai tujuan ini kita mestilah menemui para pemerintah dan menguasai jiwa mereka, seterusnya mencapai maksud untuk kepentingan Ummat Muslim.”

Beliau telah menjadi perantara untuk mendamaikan pertelingkahan yang berlaku di antara putera-putera Timurid, mengaturkan perundingan dengan para pemimpin suku kaum yang berpindah-randah, menyusun pertahanan untuk memelihara Samarqand dan beliau juga telah menjadi seorang tuan tanah yang paling berkuasa dalam wilayahnya dan mungkin juga seorang yang paling kaya di Mawarannahr. Beliau telah banyak membantu dalam menegakkan ketinggian kuasa Naqshbandi ke seluruh Asia Tengah.

Para khalifah dan para pengikutnya yang datang sesudahnya telah memikul pengaruh beliau dan telah menyebarkannya ke tempat yang lebih jauh sehingga ke Turki, Turkistan Timur, India dan sehingga ke hari ini pengaruh beliau telah tersebar ke seluruh pelosok Dunia.

Kajian tentang Hadhrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih dan peranannya dalam menempa kejayaan bagi Tariqah Sufiyah Naqshbandiyah di empayar Timuriyah pada abad ke-15 telah dibingkaikan dengan dua pertimbangan utama:

1. Pertama, penyelidikan tentang karisma kepemimpinan Sufi seperti Hadhrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar sering bergantung pada bahan-bahan sejarah di bawah karangan Hagiografi iaitu riwayat tentang kehidupan Para Wali.

2. Kedua, kajian tentang fenomena Asia Tengah seperti kewujudan Naqshbandiyah sehingga tahun 1990-an merupakan suatu bidang istimewa bagi para sarjana Russia yang menjalankan kajian dengan sistem metodologi dan epistemologi Marxsis yang tidak selalunya bersikap baik terhadap sebarang gerakan keagamaan yang masyhur dan sistem kepercayaan.

Berkhidmat untuk ummat manusia secara Jasmani mahupun Ruhani adalah merupakan kata-kata dorongan bagi Hadhzrat Khwajah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih. Ada banyak contoh sifat kebaikannya sepertimana beliau pernah berkata:
“Untuk membantu dan melayani masyarakat adalah lebih baik daripada Zikir dan Muraqabah. Beberapa orang berfikir bahawa untuk melakukan Sunnah yangg berlebihan adalah lebih baik daripada melayani dan membantu mereka yang memerlukan. Menurut pandangan kami, walau bagaimanapun bahawa untuk merawat orang dan untuk membantu mereka dan untuk menunjukkan kepada mereka kasih sayang adalah lebih baik dari apa pun.”

Beliau juga pernah berkata,
“Aku tidak mengambil Tariqat ini dari buku tapi daku telah diajar Tariqat ini dengan melayani orang ramai.”

Beliau telah berkata,
“Daku masuk ke dalam perkumpulan Keruhanian melalui pintu perkhidmatan.”

Kata beliau,
“Tasawwuf mengharuskan anda untuk membawa beban semua orang dan tidak meletakkan anda pada sesiapa jua pun.”

Ketika pertengahan abad yang ke lima belas Para Masyaikh Sufiyah di Asia Tengah telah menjadi sangat berpengaruh dan martabat keruhanian serta kewibawaan agama yang ada dalam diri mereka telah diterjemahkan ke dalam kekuasaan politik dan kekukuhan ekonomi. Tariqat Naqshbandi telah berkembang pesat dalam persekitaran ini dan telah mencapai zaman kemuncak di zaman Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih yang merupakan generasi ketiga sesudah pengasasnya iaitu Hadhzrat Khwajah Khwajagan Shah Muhammad Bahauddin Naqshband Al-Uwaisi Al-Bukhari Rahmatullah ‘Alaih yang telah dianggap dan diterima sebagai Penaung Para Wali di Bukhara.

Sebuah kompleks binaan bangunan yang mengandungi Masjid serta beberapa Khanqah dan Madrasah telah dibina di persekitaran makamnya dan telah menjadi sebuah tempat kunjungan yang termasyhur di Bukhara. Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih merupakan syakhsiah yang pertama dari kalangan Masyaikh Naqshbandiyah yang telah melibatkan diri dalam kancah politik serta menikmati kemewahan ekonomi yang tersendiri dan keupayaan sosial terhadap segala tuntutan rakyat. Dalam tahun 1431 M beliau telah menapakkan dirinya sebagai seorang Syaikh Tariqah Sufiyyah di Tashkent yang ketika itu dikenali sebagai Tashkand.

Beliau telah menggunakan kekuatan pengaruhnya ke atas beberapa suku kaum Uzbek untuk membantu bakal pemerintah iaitu Sultan Abu Sa’id dalam usahanya bergelut dalam peperangan bagi mendapatkan kekuasaan politik. Setelah pergelutan kuasa dan Sultan Abu Sa’id berjaya mandapat tampuk kekuasaan, Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah bersama-sama Sultan Abu Sa’id berpindah ke ibukota yang baharu iaitu di Samarqand. Oleh kerana kewibawaan keruhaniannya yang telah berjaya menakluk hati Sultan Abu Sa’id, Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah menjadi penguasa mutlak di Transoxiana dan sebagai pemilik tanah yang terbesar dan terkaya pada masa itu.

Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah mengesahkan tindakannya melibatkan diri dalam suasana politik dengan mendakwa bahawa dirinya telah diberikan tanggungjawab untuk melindungi Ummat Muslimin dari sebarang kejahatan dan kezaliman dengan menegakkan Syari’at secara mendampingi para raja dan menakluki jiwa mereka untuk kepentingan Ummat Islam.

Antara perintah yang telah dikeluarkan oleh beliau dalam menguatkuasakan Syari’at Islam adalah dengan menggugurkan Tamgha iaitu suatu tradisi Mongol yang bukan Islam dalam pungutan cukai. Beliaulah Syeikh Naqshbandi yang pertama membawa pengamalan Syari’at dari tahap individu ke tahap politik dan telah menerapkan penafsiran prinsip ajaran Khalwat Dar Anjuman oleh Hadhzrat Khwajah Khwajagan ‘Abdul Khaliq Ghujduwani Rahmatullah ‘Alaih sebagai suatu keperluan dalam memadukan dan menyelaraskan kegiatan-kegiatan Duniawi dan Ruhani.
Penafsiran asas beliau terhadap Syari’at telah membimbing beliau kepada mengenepikan irama muzik bunyi-bunyian, tarian dan alunan syair yang mana kelihatan agak bertentangan dengan sikap terbuka dalam tradisi Para Masyaikh yang telah dipegang di Khurasan, khasnya di Herat seperti Hadhzrat Maulana Jami Rahmatullah ‘Alaih.
Sepertimana Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih, Hadhzrat Maulana ‘Abdur Rahman Jami Rahmatullah ‘Alaih juga turut menikmati kedudukan tinggi yang tersendiri dan telah berjaya mempengaruhi para pemerintah di Khurasan meskipun penafsiran beliau terhadap Syari’at agak berlainan dengan penafsiran Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih.

Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah berjaya membangunkan Tariqat Naqshbandi sebagai yang paling berpengaruh di Asia Tengah dan berdampingan dengan para pemerintah. Sehinggalah pada lewat abad yang ke lapan belas, seorang Syaikh Naqshbandi yang bernama Hadhzrat Shah Murad 1801 M yang mendakwa dirinya sebagai berketurunan ruhani daripada Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah menjadi ketua pemerintah Bukhara. Dengan melihat bahawa dirinya sebagai seorang Khalifah Allah di atas muka bumi, beliau telah berpegang teguh dengan polisi yang telah dilaksanakan oleh Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih dengan usahanya memperkuatkuasakan perlaksanaan Syari’at Islam serta menerangkan penafsirannya yang asas. Beliau agak terkenal dengan sikap permusuhannya secara terang-terangan terhadap golongan Syi’ah dan bukan Islam.

Lebih jauh dari itu, bilangan Para Khalifahnya yang ramai sesudah beliau telah memberikan jaminan untuk tersebarnya limpahan Faidhz ke seluruh Dunia Islam dan telah berjaya menjadikan Tariqat Naqshbandiyah sebagai suatu Tariqat Sufiyah yang paling luas berkembang. Gabungan para pemerintah dengan Para Masyaikh Naqshbandiyah telah menjadi begitu kerap dibahagian Timur Turkistan.

Setelah penaklukan Russia ke atas Asia Tengah dalam pertengahan abad ke sembilan belas meskipun Tariqat Naqshbandiyah telah dilihat dengan bentuk baharu yang berbeza, namun ia masih terus memainkan peranan penting dalam pengaruhnya terhadap Ummat Muslimin di Asia Tengah. Ketika awal tahun 1970-an, Tariqat Naqshbandiyah masih lagi merupakan sebuah Tariqah Sufiyah yang penuh bertenaga dan telah memberikan pengaruh yang besar terhadap masyarakat sosial. Para Masyaikh Naqshbandiyah telah dikenali juga sebagai Hadhzrat Ishan memiliki aura keruhanian yang hebat dan telah menikmati kedudukan yang tinggi di kalangan para bangsawan.

Para Khalifah Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih juga telah memperkenalkan jaringan Ekhwan Naqshbandiyah ke dalam tanah jajahan kerajaan ‘Utsmaniyah dan Iran.

Segala kenyataan ini telah diperakui oleh para periwayat seperti Al-Khani dan para sarjana pengkaji sejarah Asia Tengah seperti Hamid Algar, Bartold, Boldyrev, Bregel, Buehler, Canfield, Checovich, Gordelevskiy, Jo Ann Gross, Khanykoff, Kolosenko, Shubin, Sitnyakovskiy dan Vambery.

Hadhzrat Maulana Khwaja Ahrar telah menulis banyak buku tentang Tasawwuf dan pengetahuan yang berkaitan dengan mencari kedekatan kepada Allah. Selain itu, beliau juga telah mendirikan sebuah Madrasah besar dan sebuah Masjid yang masih menjadi pusat pembelajaran Agama Islam. Khwaja Ahrar telah meninggal dunia pada hari Sabtu 29 Rabi’ul Awwal 895 H / 20 Februari 1490 M di Kemangiran, Samarqand selepas solat Isyak ketika berusia 89 tahun.

Pemakamannya telah menarik segalanya hinggakan Sultan Ahmad dari Samarqand bersama-sama pasukannya juga telah datang menghadiri pemakaman beliau. Beliau telah dikebumikan di Samarqand. Beliau telah memberikan limpahan Faidhz dari Urutan Naqshbandiyah kepada Hadhzrat Khwajah Qadhzi Muhammad Zahid Samarqandi Rahmatullah ‘Alaih. Maqam persemadian Hadhzrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih telah menjadi sebuah tempat tarikan para pengunjung sehingga ke hari ini.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s