Hadhrat Makhdum A’zam Syaikh Ahmad Kasani Ibni Mawlana Jalaluddin Khwajagi Kasani Rahmatullah ‘Alaihima

 Hadhrat Makhdum A’zam Syaikh Ahmad Kasani Ibni Mawlana Jalaluddin Khwajagi Kasani Rahmatullah ‘Alaihima (m.1542)

Hadhrat Syaikh Ahmad Ibni Mawlana Jalaluddin Khwajagi Kasani Rahmatullah ‘Alaihima yang masyhur semenjak abad ke-16 dengan gelaran Makhdum A’zam telah dilahirkan pada tahun 1461 Masihi di sebuah daerah bernama Kazan di lembah Farghana di Turkestan berdekatan sungai Syr Darya dan meninggal pada tahun 1542 Masihi dan dikebumikan di Samarqand, Uzbekistan. Beliau adalah Sayyid dari keturunan Qarakhanid dan Burhanuddin Qilich dan merupakan salah seorang dari kalangan Masyaikh Khwajagan Naqshbandiyah yang agung. Makhdum A’zam yang bermaksud ‘Mahaguru Teragung’ adalah bagi menggambarkan paparan peribadi dirinya yang unggul sebagai seorang Khwajah di kalangan Para Khwajagan. Beliau telah menerima Nisbat Batin daripada Murshidnya Hadhrat Khwajah Muhammad Qadhzi Rahmatullah ‘Alaih yang merupakan Khalifah Hadhrat Khwajah ‘Ubaidullah Ahrar Rahmatullah ‘Alaih.

Menurut seorang penuntut beliau bernama Hadhrat Qasim Bin Muhammad Rahmatullah ‘Alaih yang telah mengkhidmatinya selama beberapa tahun sehingga saat kematiannya dan juga pengarang kitab Anis At-Talibin, bahawa Hadhrat Makhdum A’zam Rahmatullah ‘Alaih adalah seorang yang memiliki banyak Karamah. Terdapat banyak kisah berkenaan mereka yang berani menentangnya dan tidak menghormatinya atau biadab terhadapnya telah ditimpa dengan balasan seperti kemalangan, sakit yang berterusan dan juga kematian. Hadhrat Makhdum A’zam Rahmatullah ‘Alaih telah menekankan betapa pentingnya mewujudkan perhubungan dengan Para Sultan yang sedang memerintah dalam usaha menggesa mereka menegakkan Syari’at Islam sehinggakan ramai dari kalangan para pemimpin dalam Kerajaan Shaybanid yang telah mendakwa diri mereka sebagai Murid Hadhrat Makhdum A’zam.

Seorang penuntut beliau yang bernama Hadhrat Dust Muhammad Bin Nawruz Ahmad Al-Kishi Falizkar Rahmatullah ‘Alaih menyatakan bahawa selama dua puluh lima tahun dia telah mencenderungkan kepalanya dengan kehinaan terhadap menuruti jejak langkah Sultan Tariqat Makhdum A’zam Hadhrat Khwajah Ahmad Kasani Rahmatullah ‘Alaih dan telah mencatatkan setiap apa yang telah didengari dan yang dapat disaksikan daripada Murshidnya dan telah menghimpunkannya dalam dua buah kitab yang bernama Silsilah As-Siddiqin Wa Anis Al-‘Ashiqin dan Tanbih Adh-Dhallin Wal-Mudhillin yang berkaitan dengan sejarah hidup Hadhrat Makhdum A’zam Rahmatullah ‘Alaih. Beliau telah meriwayatkan tiga peristiwa penting sebagai menurut arahan Hadhrat Makhdum A’zam Rahmatullah ‘Alaih iaitu kebenaran ramalannya tentang penaklukan kota Kasan di Farghana oleh tentera bersekutu Uzbek yang dipimpin oleh Janibik Khan, berkenaan serangan oleh dua puluh ribu kekuatan tentera Kafir terhadap Mirza Babur kemudian kejayaan yang akan dicapai oleh Babur. Beliau mendapat firasat tentang peristiwa tersebut menerusi amalan Muraqabah dan Tawajjuh. Beliau juga telah mendapat firasat tentang kejayaan gerakan penentangan yang dilakukan oleh Ubaidallah Khan terhadap Khurasan.

Beliau telah mengarang lebih dari tiga puluh buah kitab berkaitan Ilmu Islamiyah khasnya berkaitan Ilmu Tariqat Tasawwuf dan merupakan seorang yang berperanan penting dalam situasi politik di Samarqand serta pejuang dalam mengembangkan Tariqah Khwajagan Naqshbandiyah di sekitar Asia Tengah. Karya penulisan beliau telah tersebar dari Mawarannahr (Transoxiana) sehinggalah ke Timur Turkestan di Xinjiang dan Tariqah beliau telah berkembang ke berbagai pelosok Asia Tengah.
 Putera sulung beliau yang bernama Hadhrat Khwajah Muhammad Amin Rahmatullah ‘Alaih (m.1598) dan putera kedua beliau yang bernama Hadhrat Khwajah Ishaq Wali Rahmatullah ‘Alaih (m.1599) adalah pengasas cabang daripada Tariqah Khwajagan Naqshbandiyah. Hadhrat Khwajah Muhammad Amin Rahmatullah ‘Alaih yang digelar sebagai ‘Ishan Kalan’ bersama para pengikutnya telah menjalankan kegiatan Tariqat di sekitar kawasan pergunungan putih di Kashgar dan mereka telah dikenali sebagai ‘Aqtaghliq’ atau Tariqah Afaqiyah atau Baishan Pai.

Hadhrat Khwajah Ishaq Wali Rahmatullah ‘Alaih dan para pengikutnya pula telah menjalankan kegiatan Tariqat di kawasan pergunungan hitam di Yarkand dan mereka telah dikenali sebagai ‘Qarataghliq’ atau Tariqah Ishaqiyah atau Heishen Pai. Kegiatan amalan Tariqat Tasawwuf dan penyebaran kedua-dua cabang Tariqah ini telah berjaya menarik ramai Para Murid sehinggalah kepada golonga atasan Mongol di Turkestan dan telah berjaya menguasai Kasghar dan Yarkand pada abad ke-17. Seluruh keturunan dan para pengikut setia mereka telah dikenali sebagai ‘Makhdumzada’.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s